Sunday 27 January 2013

Makruf & Mungkar Dalam Pelaksanaan Islam


MASIH ramai di kalangan umat    Islam sendiri yang memberi    ukuran dan menilaikan Islam itu cuma dari aspek zahir semata-mata, iaitu melalui mata kasar yang ada pada mereka. Mereka melihat Islam tentang binaan masjidnya yang besar-besar dan agung, tentang banyaknya agensi agama dengan ramai pegawainya, tentang madrasah atau sekolah-sekolah agama yang ramai mahaguru dan muridnya atau tentang program-program agama yang diadakan.

Ada juga yang melihat dari segi penunaian rukun Islam dan keyakinan rukun iman semata-mata. Islam bagi mereka hanya terbatas kepada penyempurnaan sembahyang, puasa, haji dan lain-lain ibadah termasuk yang berhubung dengan akidah. Jika perkara-perkara lain hendak diislamkan maka perlulah diberi nama Islam atau dilogokan dengan mengguna istilah-istilah yang berunsur Islam, atau dilabelkan dengan perkataan Islam.

Paling anehnya ada yang memberi nilai cuma kepada penampilan pakaian. Islam itu diletak pada janggut dan misai yang disimpan, serban dan jubah yang dipakai, purdah dan telekung dan sebagainya. Bertambah hebatlah imejnya apabila dia boleh berpidato dengan menyebut ayat-ayat dan hadis dengan fasih.

Mereka ini apabila menyebut pelaksanaan Islam dalam masyarakat maka tergambarlah dalam fikiran mereka bahawa Islam itu hendaklah memperbanyakkan agensi agama, hendaklah melabelkan segala kegiatan masyarakat dengan nama Islam dan hendaklah menggalakkan orang ramai berpakaian serban dan jubah.

Maka ramailah mereka yang ingin menyatakan dirinya lebih Islam dengan cara penonjolan demikian. Anggapan seumpama ini tidak betul sama sekali dan bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.

Islam mempunyai konsep menyeluruh sesuai dengan agama Islam sebagai agama yang mencakupi (syumul) seluruh bidang kehidupan manusia bermula dari diri sendiri, keluarga, jiran, masyarakat, negara dan seterusnya perhubungan antarabangsa dari pelbagai aspek, iaitu politik, ekonomi, pelajaran dan lain-lain. Pelaksanaannya hendaklah dengan niat dan cara yang betul juga menurut garisan boleh dan tidak boleh sebagaimana yang telah ditetapkan. Soal nama, label, logo, dan pakaian tidak timbul. Yang pentingnya ialah kesungguhan bekerja dan matlamat pelaksanaan itu ke arah pencapaian keredaan Allah.

No comments:

Post a Comment