Sunday 27 January 2013

Makruf & Mungkar Dalam Pelaksanaan Islam


MASIH ramai di kalangan umat    Islam sendiri yang memberi    ukuran dan menilaikan Islam itu cuma dari aspek zahir semata-mata, iaitu melalui mata kasar yang ada pada mereka. Mereka melihat Islam tentang binaan masjidnya yang besar-besar dan agung, tentang banyaknya agensi agama dengan ramai pegawainya, tentang madrasah atau sekolah-sekolah agama yang ramai mahaguru dan muridnya atau tentang program-program agama yang diadakan.

Ada juga yang melihat dari segi penunaian rukun Islam dan keyakinan rukun iman semata-mata. Islam bagi mereka hanya terbatas kepada penyempurnaan sembahyang, puasa, haji dan lain-lain ibadah termasuk yang berhubung dengan akidah. Jika perkara-perkara lain hendak diislamkan maka perlulah diberi nama Islam atau dilogokan dengan mengguna istilah-istilah yang berunsur Islam, atau dilabelkan dengan perkataan Islam.

Paling anehnya ada yang memberi nilai cuma kepada penampilan pakaian. Islam itu diletak pada janggut dan misai yang disimpan, serban dan jubah yang dipakai, purdah dan telekung dan sebagainya. Bertambah hebatlah imejnya apabila dia boleh berpidato dengan menyebut ayat-ayat dan hadis dengan fasih.

Mereka ini apabila menyebut pelaksanaan Islam dalam masyarakat maka tergambarlah dalam fikiran mereka bahawa Islam itu hendaklah memperbanyakkan agensi agama, hendaklah melabelkan segala kegiatan masyarakat dengan nama Islam dan hendaklah menggalakkan orang ramai berpakaian serban dan jubah.

Maka ramailah mereka yang ingin menyatakan dirinya lebih Islam dengan cara penonjolan demikian. Anggapan seumpama ini tidak betul sama sekali dan bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.

Islam mempunyai konsep menyeluruh sesuai dengan agama Islam sebagai agama yang mencakupi (syumul) seluruh bidang kehidupan manusia bermula dari diri sendiri, keluarga, jiran, masyarakat, negara dan seterusnya perhubungan antarabangsa dari pelbagai aspek, iaitu politik, ekonomi, pelajaran dan lain-lain. Pelaksanaannya hendaklah dengan niat dan cara yang betul juga menurut garisan boleh dan tidak boleh sebagaimana yang telah ditetapkan. Soal nama, label, logo, dan pakaian tidak timbul. Yang pentingnya ialah kesungguhan bekerja dan matlamat pelaksanaan itu ke arah pencapaian keredaan Allah.

Hikmah Ayat Al-Kursi mengikut Hadis:


1)   Barang siapa membaca ayat Al-Kursi bila berbaring di tempat tidurnya , Allah SWT mewakilkan dua orang Malaikat memeliharanya hingga subuh.

2)   Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap sembahyang Fardhu , dia akan berada dalam lindungan Allah SWT hingga sembahyang yang lain.

3)   Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap sembahyang , dia akan masuk syurga dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur , Allah SWT akan memelihara rumahnya dan rumah-rumah disekitarnya.

4)   Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap-tiap solat fardhu, Allah SWT menganugerahkan dia setiap hati orang yang bersyukur, setiap perbuatan orang yang benar , pahala nabi2 , serta Allah melimpahkan rahmat padanya.

5)   Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya , maka Allah SWT mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya - mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.

6)   Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir sembahyang , Allah SWT akan mengendalikan pengambilan rohnya dan dia adalah seperti orang yang berperang bersama Nabi Allah sehingga mati syahid.

7)   Barang siapa yang membaca ayat Al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah SWT berkenan memberi pertolongan kepadanya.

Dari Abdullah bin ‘Amr r.a. , Rasulullah S.A.W. bersabda , ”Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat...”



Penitian Hidup ke Alam Remaja



KEHIDUPAN manusia sentiasa  mengalami perubahan yang bermula daripada  kehidupan kanak-kanak sehingga peringkat dewasa. Perubahan berlaku melibatkan pertambahan berat dan saiz badan yang ditentukan oleh tahap pemakanan dan kesihatan seseorang individu. Mungkin juga melibatkan perbezaan perubahan antara lelaki dengan wanita yang merupakan perkara biasa. Sebab itu, kita perlu mengambil berat  dari semasa ke semasa  untuk memastikan perubahan hidup berlaku dengan sempurna dan tidak terjejas.

Perubahan fizikal yang berlaku terhadap  remaja turut dipengaruhi pertumbuhan jasad. Pelbagai kegiatan hormon berkait rapat dengan pertumbuhan tubuh dan perkembangan biologi. Dalam masa yang sama ia memberi kesan langsung kepada  perkembangan psikologi dan sosial. Namun  begitu  kadar perkembangan  kemajuan berbeza-beza antara satu sama lain. Perkembangan dan perubahan fizikal remaja     bermula dengan ketegangan dari segi seksualiti, iaitu semasa mereka mampu mengeluarkan ovum dan sperma.  Pelbagai istilah dikaitkan dengan perubahan ini seperti ‘puberty‘ (pertumbuhan bulu di kawasan kemaluan), ‘menarche‘ (permulaan haid bagi wanita), ‘sexual maturity‘ (kematangan seksualiti).


Perkembangan fizikal menandakan alat kelamin mula aktif mengeluarkan hormon tertentu. Pertumbuhan sifat kelamin sekunder dan membesar sebagai dewasa.  Tanda-tanda pada lelaki seperti berlaku pembesaran tubuh badan, berbulu pada muka dan bermisai, ketiak berbulu, bulu kemaluan, saiz buah zakar besar, mudah mengalami ereksi dan enjakulasi waktu tidur.  Bagi remaja perempuan pula berlaku pembesaran pinggul, ketiak berbulu, bulu kemaluan, buah dada membesar, pembesaran genitalia bahagian luar,  haid, berubah suara dan berjerawat.

Cantik Syukur & Cantik Kufur


“CANTIK, hidungnya mancung, pipinya mungil.”
“Cantiknya, bulu matanya melentik, matanya hitam.”
“Senyumannya menawan, bibirnya merekah.”
Tentu sekali dialog-dialog ini sangat biasa kita dengar apabila seseorang menilai kecantikan, dan nilaian kecantikan ini lebih terarah kepada bentuk fizikal seseorang yang terpapar di hadapan mata. Pun begitu, nilai kecantikan ini masih kekal subjektif menurut persepsi setiap individu, dan kepelbagaian inilah yang menyebabkan maksud sebenar kecantikan itu berbeza-beza.

Lantas berebut-rebutlah para wanita untuk memenuhi tuntutan persepsi itu, lalu tergoda dengan tuntutan zaman melalui kosmetik dan fesyen, sehingga tampil menggores batasan syariat dan melalaikan nasihat-nasihat semata-mata ingin memenuhi tuntutan persepsi itu. Ada yang sudah mula memutihkan kulit, melentikkan bulu mata, meluruskan rambut, mencukur alis, malah sampai ada usaha untuk memancungkan hidung dengan silikon.

Pendek kata, mereka ingin tampil model-model atau bintang-bintang terkenal, atau mencontohi seseorang yang dikenali dan penampilan serta fizikalnya memikat hati. Maka kedai-kedai kosmetik dan solek menjadi riuh dan tidak pernah sunyi daripada pengunjungnya.

Makna cantik telah digambarkan sedemikian rupa oleh media dan persepsi manusia, sehingga melalaikan hakikat sebenar kecantikan. Mereka sibuk menghias fizikal dan rupa sehingga lupa akan hati yang kian gersang dan sikap hati yang tidak pernah puas. Mereka sibuk mengejar perhatian orang lain agar meminatinya seterusnya melahirkan deretan pujian terhadap kecantikan itu dan itulah makna kejayaan pada pandangan mereka.



Cantik dan Sukses
Hakikatnya, tiada kaitan langsung antara kecantikan fizikal dan kejayaan seseorang. Malah, hasil kajian menunjukkan banyak rumah tangga yang menjadi porak berpunca dari tarikan kecantikan fizikal, dan ramai sahaja yang tidak memiliki fizikal yang cantik tetapi rumahtangga mereka sentiasa tenang dan bahagia.

Benar, mereka yang tidak meletakkan cantik fizikal sebagai prioriti yang perlu dikejar dalam hidup sentiasa tenang dan bahagia.
Mereka tidak perlu bimbang dengan penuaan dan kedutan pada kulit, tak terlalu bimbang dengan lekuk dan bentuk tubuh. Mereka lebih peduli dan fokus pada iman dan amal, sehingga menatijahkan prinsip hidup yang mantap dan kukuh, tanpa rapuh.

Suatu kata yang terus bergema dalam hati sanubari mereka, iaitulah kalimah syukur terhadap apa-apa yang Allah kurniakan tanpa rungutan dan tidak puas hati. Hidup mereka sentiasa indah dengan perhiasan reda, menerima seadanya segala anugerah walaupun sedikit.

Hakikatnya tiada kaitan langsung antara kecantikan diri dan sukses. Ada sahaja dalam kalangan manusia sukses yang tidak memiliki rupa paras yang cantik atau kacak, bentuk tubuh yang sempurna dan hebat, tetapi mereka sentiasa menemukan suatu destinasi yang bernama ketenangan hidup.

Kehidupan mereka tenang dalam syukur dan reda kerana hakikatnya tiada apa yang lebih bermakna melainkan sebuah ketenangan dalam agama-Nya. Hati yang tenang melakukan setiap perkara berpaksikan hukum itulah kewajaran bagi mereka, dan tiada apa yang boleh mengatasi hukum Allah, seperti sabda baginda s.a.w yang bermaksud:
“Kebaikan itu adalah akhlak yang mulia dan dosa itu adalah apa yang berdebar-debar di dadamu sementara kamu tidak senang orang mengetahuinya.” (Muslim/2553)

Ingatlah, apa yang kita benci ada pada diri kita tetapi kita mungkin tidak sedar bahawa ramai yang ingin memiliki apa yang kita benci itu.

Tip:


Setitis Air Yang Bererti


PERNAHKAN kita melihat samudera yang luas terbentang, samudera yang merupakan ciptaan terus dari Allah. Samudera yang luas dan dalam. Indah dan mendamaikan. Samudera sebagai ayat manzurah dari segenap kebesaran dan keagungan Allah di muka bumi ini?

Entah kenapa, ombak dan pantai yang bertepukan walaupun riuh, tetap tidak membingitkan telinga, atau meresahkan hati, malah sebaliknya yang kita rasa. Jika kita duduk sebentar di tepi pantai, menghayati desiran ombak dan bayu laut, hati terasa tenang dan damai. Rasa bahagia menebar dalam hati. Lantas tafakur kita akan diiringi dengan tasbih memuji kebesaran dan keagungan Pencipta samudera itu.

Walaupun samudera telah menggemparkan dunia dengan tsunami, ribut, serangan jerung dan obor-obor tetapi manusia tetap tidak putus mahu mengunjunginya, terutama sebagai destinasi wisata keluarga dan keraian tertentu.

Sedar atau tidak sebenarnya penciptaan pantai dan manusia adalah terus secara langsung dari Allah. Kejadian manusia bermula dengan setitis air mani dan samudera dari setitis air hujan. Dua ciptaan secara langsung dari Pencipta dan apabila bertemu akan menzahirkan keakraban atas nama keagungan dan kebesaran-Nya. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan), laut yang tawar lagi segar dan laut yang masin lagi pahit. Dan Dia jadikan di antara kedua-duanya dinding dan batas yang menghalangi.” (al-Furqan: 53)

Ya, kita mempunyai hubungan yang akrab dengan samudera, perlu sentiasa ber’komunikasi’ dengan pantai.

Kita Memerlukan Air--- Sejarah dan tamadun manusia juga telah membuktikan bahawa manusia sentiasa memerlukan air, maka Allah telah menjadikan sungai-sungai sebagai sumber air yang bersih untuk manusia. Sungai-sungai yang akhirnya sampai juga ke laut.

Air yang diperlukan untuk minum sekurang-kurangnya lapan hingga sepuluh gelas setiap hari untuk memberi kesihatan kepada tubuh, justeru perjalanan hidup seharian menjadi cergas dan tahan dari penyakit.

Kita memerlukan air untuk bersuci dan membasuh segala macam bentuk kekotoran. Malah ada dalam kalangan kita yang tidak selesa apabila tiada air kerana segala bentuk pengurusan diri adalah berasaskan kepada air. Contohnya makanan, walaupun namanya makanan, tetapi dalam makanan tersebut juga masih terdapat unsur air. Tubuh kita juga terdiri dari 55 sampai 78 peratus air bergantung kepada bentuk dan ukuran jasad.

Amanah+Iman=Aman



Secara etimologi, kata-kata iman, amanah dan aman,  berasal dari akar kata yang 
sama, iaitu ‘hamzah, mim’, dan ‘nun’ yang memiliki makna asal ‘aman / sejahtera’, 
‘tenteram’, ‘tidak merasa takut’. (lih. al-Mu’jam al-Araby al-Asasy, hlm 109.) Hakikat 
maknanya pun saling berkait erat. Iman tidak terwujud sempurna kalau tidak ada 
amanah, begitu juga sebaliknya. Rasa aman / sejahtera dan ketenangan pun tidak akan terwujud jika tidak ada iman dan amanah. Makna secarai logiknya, seseorang mukmin yang tidak amanah perlu dicurigai kesahihan imannya, demikian juga seseorang yang amanah tetapi tidak beriman, amanahnya adalah palsu yang didasari atas kepentingan peribadi, politik, atau kelompoknya.

Pada amnya, iman sekadar difahami sebagai “sikap percaya”; dalam hal ini khususnya percaya kepada Rukun Iman yang enam kerana sikap itulah yang akan melandasi tindakan seorang. Namun, apabila difahami lebih mendalam, iman tidak cukup hanya dengan sikap batin yang hanya percaya atau mempercayai sesuatu, tetapi menuntut perwujudan lahiriah dalam tindakan.

Dalam pengertian inilah kita memahami sabda Nabi s.a.w bahawa iman mempunyai lebih daripada 70 tingkatan, yang paling tinggi ialah ucapan Lailahailallah (tiada Tuhan selain Allah) dan yang paling rendah adalah membuang duri (yang ada) di jalan. Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda, “Demi Allah, ia tidak beriman! Demi Allah, ia tidak beriman!” Lalu orang bertanya, “Siapa, wahai Rasul Allah?” Baginda menjawab, “Orang yang tetangganya tidak merasa aman daripada kelakuan buruknya.” Lalu orang bertanya lagi, “Tingkah laku buruknya apa?” Baginda menjawab: “Sikapnya yang menyakitkan.” Berdasarkan hakikat tersebut, maka sesungguhnya makna iman dapat bererti sejajar dengan kebaikan atau perbuatan baik dalam dimensi vertikal (hablun minallah) dan horizontal (hablun minannas). Seperti penjelasan Allah s.w.t tentang makna al-birr dalam surah al-Baqarah, ayat 177. Oleh kerana itu, dapat difahami: “Tiada iman tanpa takwa, kepatuhan pada Tuhan di mana pun dan bila-bila pun. Dan takwa itulah, bukti intipati keimanan kita.”

Dengan demikian, jangan sedikitpun kita merasa ragu akan iman kita itu. Keraguan akan membawa kepada sikap dan tindakan yang menyimpang daripada keimanan tersebut. Di dalam bahasa Jawa, iman itu harus madep, mantep dan mancep. Madep maknanya seluruh hati dan perasaan kita perlu dihadapkan hanya kepada Allah s.w.t, jangan berpaling sedikit pun. Mantep maknanya iman harus ditujukan semata-mata kepada Allah s.w.t, jangan sampai berbelok sedikit pun. Mancep maknanya iman harus ditanamkan sedalam-dalamnya kepada Allah s.w.t. Ibarat akar tunjang yang menghunjam ke dalam tanah sehingga dapat menyangga kehidupan pohon tersebut. Kita semua telah memperoleh hidayah iman daripada Allah s.w.t. Maka, sudah semestinya jika iman tersebut dipelihara dengan sedaya upaya. Kita singkirkan semua keraguan. Kita singkirkan semua yang menyebabkan munculnya keraguan akan keimanan tersebut. Hanya orang yang tanpa keraguan akan melakukan amalan agama dengan bersungguh-sungguh.

Hati KITA ini......



HATI adalah titik terpenting diri seseorang. Malah dalam budaya dan akar budi Melayu sekalipun, hati mendapat tempat yang amat istimewa.

“Sila beri perhatian!”

Kita selalu mendengar seruan ini. BIla agaknya kata-kata ini akan diluahkan? Tentulah bila ada sesuatu yang penting dan penyampai inginkan supaya para pendengar benar-benar perasan akan kepentingan perkara yang dia ingin sampaikan.

Kenapa agaknya, kita tidak mengatakan, “Sila beri perakalan!”?

Malah yang digunakan ialah sila beri “perhatian”. Bila merujuk kepada sesuatu yang penting, akal sahaja tidak mencukupi tetapi perHATIan hati itulah yang lebih penting. Sebab itu kita gunakan perkataan ‘berhati-hati’ dan bukannya ‘berakal-akal’ apabila menyatakan tentang kewaspadaan. Hati adalah satu medan yang amat penting untuk diusahakan.

Allah s.w.t menyatakan di dalam satu ayat, menceritakan apa natijah akhir yang akan terjadi apabila hati kita dibiarkan begitu sahaja:
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (al-A’raaf: 179)

Al-Quran sememangnya adalah petunjuk buat seluruh insan sampai hari kiamat. Namun begitu, siapakah yang benar-benar akan mendapat manfaat daripada rahmat, petunjuk dan pedoman al-Quran ini? Allah s.w.t menjelaskan:
“Sesungguhnya (keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa) yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati (yang sedar pada masa membacanya) atau yang menggunakan pendengarannya dengan bersungguh-sungguh (kepada pengajaran itu) dengan menumpukan hati dan fikiran kepadanya.” (Surah Qaaf: 37 )

Jelas, kata kunci di sini ialah ‘hati’. Hati yang benar-benar diusahakan dengan iman dan disinari cahaya keimanan, maka hati inilah akan dapat menyerap segala ayat Allah, sama ada ayat Allah yang dibaca iaitu al-Quran, mahupun ayat (tanda dan keterangan) Allah yang terzahir dalam segala penciptaan makhluk-makhluk-Nya. Jika tidak, yang sebaliknya akan berlaku:

Baik&Buruk Hawa Nafsu

PERNAH kita memikirkan bahawa nafsu yang ada dalam diri kita boleh menerjahkan diri kita ke arah kebinasaan dan juga kehinaan? Dan pernahkah kita terfikir bahawa nafsu juga boleh mendorong seseorang itu untuk melakukan kebaikan dan juga kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat.

Apakah yang dimaksudkan dengan hawa nafsu ini? Jika dicari asal makna ‘hawa’ dalam bahawa Arab, maka ia merujuk kepada pengertian ‘suka’ ataupun ‘cinta’. Menurut ahli bahasa, ‘hawa’ ialah kesukaan manusia kepada sesuatu yang dapat menggembirakan serta memenangkan hatinya. Sedangkan ‘nafsu’, ia merupakan suatu dorongan dalaman yang menjadi fitrah jiwa manusia untuk mencapai pelbagai jenis keinginan dan keseronokan di dalam kehidupannya.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini; iaitu kecintaan kepada wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga).” (Ali Imran: 14)
Menerusi ayat di atas menjelaskan kepada kita bahawa hikmah Allah s.w.t menciptakan nafsu keinginan dalam diri manusia ialah dengan tujuan untuk mendorong manusia mendapatkan apa juga perkara yang menjadi kemaslahatan dirinya atau kesinambungan zuriatnya. Keadaan nafsu yang menginginkan pelbagai perkara ini bukanlah satu kesalahan. Yang dicela dan salah ialah jika seseorang itu berusaha untuk mendapatkan keinginannya menerusi jalan yang tidak disyariatkan, atau menyebabkannya berpaling daripada mentaati perintah Allah s.w.t.

Imam al-Ghazali rahimahullah pernah berkata: “Sesungguhnya hawa nafsu ialah suatu bentuk keinginan yang tidak terpuji. Adapun keinginan yang terpuji adalah datangnya daripada panduan Allah s.w.t, yakni kekuatan ataupun dorongan yang menyebabkan manusia mahu menggerakkan dirinya untuk mendapat sesuatu perkara yang bermanfaat, sama ada untuk dirinya, keturunannya ataupun kedua-duanya sekali.”

Hadith Pemimpin Yang Adil


Hadith: 
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:Sesungguhnya orang-orang yang berlaku adil di sisi Allah akan menduduki beberapa mimbar yang diperbuat daripada cahaya. Mereka ialah orang-orang yang berlaku adil di dalam pemerintahan, ke atas keluarga dan apa-apa yang ditadbir oleh mereka.
Huraian Hadith: 
1. Allah akan memberikan tempat yang paling mulia bagi sesiapa yang berlaku adil semasa hidup di dunia sama ada di dalam urusan negara atau pun rumah tangga atau sesiapa yang berada di bawah tadbirannya.
2. Islam menuntut umatnya berlaku adil terhadap semua golongan manusia tanpa mengira umur, pangkat dan darjat bahkan melarang keras sebarang perbuatan zalim, penindasan dan pilih kasih.
3. Kepimpinan adalah satu tugas yang amat berat kerana seseorang itu bertanggungjawab kepada Allah dan manusia. Oleh itu sewajarnyalah ia tidak menjadi rebutan kecuali bagi orang yang benar-benar sanggup memikulnya.