Sunday 27 January 2013

Cantik Syukur & Cantik Kufur


“CANTIK, hidungnya mancung, pipinya mungil.”
“Cantiknya, bulu matanya melentik, matanya hitam.”
“Senyumannya menawan, bibirnya merekah.”
Tentu sekali dialog-dialog ini sangat biasa kita dengar apabila seseorang menilai kecantikan, dan nilaian kecantikan ini lebih terarah kepada bentuk fizikal seseorang yang terpapar di hadapan mata. Pun begitu, nilai kecantikan ini masih kekal subjektif menurut persepsi setiap individu, dan kepelbagaian inilah yang menyebabkan maksud sebenar kecantikan itu berbeza-beza.

Lantas berebut-rebutlah para wanita untuk memenuhi tuntutan persepsi itu, lalu tergoda dengan tuntutan zaman melalui kosmetik dan fesyen, sehingga tampil menggores batasan syariat dan melalaikan nasihat-nasihat semata-mata ingin memenuhi tuntutan persepsi itu. Ada yang sudah mula memutihkan kulit, melentikkan bulu mata, meluruskan rambut, mencukur alis, malah sampai ada usaha untuk memancungkan hidung dengan silikon.

Pendek kata, mereka ingin tampil model-model atau bintang-bintang terkenal, atau mencontohi seseorang yang dikenali dan penampilan serta fizikalnya memikat hati. Maka kedai-kedai kosmetik dan solek menjadi riuh dan tidak pernah sunyi daripada pengunjungnya.

Makna cantik telah digambarkan sedemikian rupa oleh media dan persepsi manusia, sehingga melalaikan hakikat sebenar kecantikan. Mereka sibuk menghias fizikal dan rupa sehingga lupa akan hati yang kian gersang dan sikap hati yang tidak pernah puas. Mereka sibuk mengejar perhatian orang lain agar meminatinya seterusnya melahirkan deretan pujian terhadap kecantikan itu dan itulah makna kejayaan pada pandangan mereka.



Cantik dan Sukses
Hakikatnya, tiada kaitan langsung antara kecantikan fizikal dan kejayaan seseorang. Malah, hasil kajian menunjukkan banyak rumah tangga yang menjadi porak berpunca dari tarikan kecantikan fizikal, dan ramai sahaja yang tidak memiliki fizikal yang cantik tetapi rumahtangga mereka sentiasa tenang dan bahagia.

Benar, mereka yang tidak meletakkan cantik fizikal sebagai prioriti yang perlu dikejar dalam hidup sentiasa tenang dan bahagia.
Mereka tidak perlu bimbang dengan penuaan dan kedutan pada kulit, tak terlalu bimbang dengan lekuk dan bentuk tubuh. Mereka lebih peduli dan fokus pada iman dan amal, sehingga menatijahkan prinsip hidup yang mantap dan kukuh, tanpa rapuh.

Suatu kata yang terus bergema dalam hati sanubari mereka, iaitulah kalimah syukur terhadap apa-apa yang Allah kurniakan tanpa rungutan dan tidak puas hati. Hidup mereka sentiasa indah dengan perhiasan reda, menerima seadanya segala anugerah walaupun sedikit.

Hakikatnya tiada kaitan langsung antara kecantikan diri dan sukses. Ada sahaja dalam kalangan manusia sukses yang tidak memiliki rupa paras yang cantik atau kacak, bentuk tubuh yang sempurna dan hebat, tetapi mereka sentiasa menemukan suatu destinasi yang bernama ketenangan hidup.

Kehidupan mereka tenang dalam syukur dan reda kerana hakikatnya tiada apa yang lebih bermakna melainkan sebuah ketenangan dalam agama-Nya. Hati yang tenang melakukan setiap perkara berpaksikan hukum itulah kewajaran bagi mereka, dan tiada apa yang boleh mengatasi hukum Allah, seperti sabda baginda s.a.w yang bermaksud:
“Kebaikan itu adalah akhlak yang mulia dan dosa itu adalah apa yang berdebar-debar di dadamu sementara kamu tidak senang orang mengetahuinya.” (Muslim/2553)

Ingatlah, apa yang kita benci ada pada diri kita tetapi kita mungkin tidak sedar bahawa ramai yang ingin memiliki apa yang kita benci itu.

Tip:


No comments:

Post a Comment