Sunday 27 January 2013

Setitis Air Yang Bererti


PERNAHKAN kita melihat samudera yang luas terbentang, samudera yang merupakan ciptaan terus dari Allah. Samudera yang luas dan dalam. Indah dan mendamaikan. Samudera sebagai ayat manzurah dari segenap kebesaran dan keagungan Allah di muka bumi ini?

Entah kenapa, ombak dan pantai yang bertepukan walaupun riuh, tetap tidak membingitkan telinga, atau meresahkan hati, malah sebaliknya yang kita rasa. Jika kita duduk sebentar di tepi pantai, menghayati desiran ombak dan bayu laut, hati terasa tenang dan damai. Rasa bahagia menebar dalam hati. Lantas tafakur kita akan diiringi dengan tasbih memuji kebesaran dan keagungan Pencipta samudera itu.

Walaupun samudera telah menggemparkan dunia dengan tsunami, ribut, serangan jerung dan obor-obor tetapi manusia tetap tidak putus mahu mengunjunginya, terutama sebagai destinasi wisata keluarga dan keraian tertentu.

Sedar atau tidak sebenarnya penciptaan pantai dan manusia adalah terus secara langsung dari Allah. Kejadian manusia bermula dengan setitis air mani dan samudera dari setitis air hujan. Dua ciptaan secara langsung dari Pencipta dan apabila bertemu akan menzahirkan keakraban atas nama keagungan dan kebesaran-Nya. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan), laut yang tawar lagi segar dan laut yang masin lagi pahit. Dan Dia jadikan di antara kedua-duanya dinding dan batas yang menghalangi.” (al-Furqan: 53)

Ya, kita mempunyai hubungan yang akrab dengan samudera, perlu sentiasa ber’komunikasi’ dengan pantai.

Kita Memerlukan Air--- Sejarah dan tamadun manusia juga telah membuktikan bahawa manusia sentiasa memerlukan air, maka Allah telah menjadikan sungai-sungai sebagai sumber air yang bersih untuk manusia. Sungai-sungai yang akhirnya sampai juga ke laut.

Air yang diperlukan untuk minum sekurang-kurangnya lapan hingga sepuluh gelas setiap hari untuk memberi kesihatan kepada tubuh, justeru perjalanan hidup seharian menjadi cergas dan tahan dari penyakit.

Kita memerlukan air untuk bersuci dan membasuh segala macam bentuk kekotoran. Malah ada dalam kalangan kita yang tidak selesa apabila tiada air kerana segala bentuk pengurusan diri adalah berasaskan kepada air. Contohnya makanan, walaupun namanya makanan, tetapi dalam makanan tersebut juga masih terdapat unsur air. Tubuh kita juga terdiri dari 55 sampai 78 peratus air bergantung kepada bentuk dan ukuran jasad.

No comments:

Post a Comment