Saturday 29 June 2013

IHTIFAL PERINGKAT NEGERI SARAWAK 2013

Assalamualaikum kepada hamba ALLAH sekalian,
Kami bersyukur kepada-Mu diatas kejayaan kami menganjur Ihtifal Peringkat Negeri Sarawak,
Berlangsung di SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN AGAMA MIRI.
(SMKAMi)
pada 21-22 Jun 2013.


Disini terdapat beberapa gambar untuk dilihat semasa penutupan Ihtifal,..


Juara keseluruhan Ihtifal (SMKAMi)
Sijil serta Piala


Persembahan




Persiapan pentas.


Guru-guru dan AJK yang terlibat.



Pengetua bersama SMK AGAMA MATANG



 Peserta Hiwar Menengah Rendah(Juara)



Kedatangan Yang Berhormat







Ucapan 


Buletin Hari Pertama.

Buletin Hari Kedua.


Penghargaan daripada Pengetua:
SYUKUR...Sejarah terus tercipta.. Alhamdulillah kerana izinNya kita juara KESELURUHAN IHTIFAL NEGERI... Berkat usaha para guru yang melatih dan kesungguhan pelajar mengasah bakat maka kita dinobatkan juara.. Kita juga dinobat sebagai host IHTIFAL NEGERI yang TERBAIK. Terima kasih Allah.. Tahniah semua warga SMKAMi yang hebat.

Harap jasa baik semua pihak yang terlibat mendapat ganjaran daripada Allah.
Amin rabbil alamin.

KITA CUMA MERANCNG DAN ALLAH YANG MENENTUKAN.

Bila Hati Diguris.


Kadang-kadang hati sakit bila disindir, tapi itu adalah lebih baik daripada bercakap di belakang, bila disindir menangis sebentar tapi impak selepasnya amat besar. Perubahan diri yang ketara dan lebih baik dari sebelumnya.

Belajarlah menerima sindiran walaupun sebenarnya tidak begitu beradab menyindir orang. Semuanya kerana di atas paksi kebaikan dan kemaslahatan yang lebih besar pada masa hadapan.


Aku bukanlah manusia yang sempurna. Mungkin pada zaman silam aku pernah melukakan hati, mencabut rasa tenang. Mungkin kata-kataku sungguh menyakitkan hati, tiada apa yang aku persembahkan melainkan huluran tangan memohon seribu kemaafan. Maafkan aku bersama dengan doamu.

Aku menulis bukan untuk memberitahu diri ini baik.
Aku menulis hanya untuk memberitahu diri ini supaya menjadi baik.
Bersama menginsafkan diri dalam mencari keredhaan Ilahi.

Ambil hati. Sakit hati. Pedih hati. Terasa hati. Bila perasaan ini dibiarkan terlalu lama membengkak dalam hati, maka akan tidak sihatlah hati itu. Pemiliknya pun akan muram, jauh dari keceriaan. Lebih parah lagi, menjauhkan manusia dari Rabb-Nya.

Mengapa tidak untuk berhusnuzon, sedangkan itu lebih mulia.
Mengapa tidak memahami, sedangkan kita bersaudara.
Mengapa tidak bersikap positif, sedangkan ikhtilaf hati itu padah jawabnya.
Mengapa tidak bersama dalam perjuangan ini,sedangkan tanggungjawab kita adalah sama.
Mengapa tidak meluangkan masa bersama sedangkan, kita semua adalah dai’e.

Positif menjadikan kita bersangka baik. Bersangka baik lebih menenangkan hati. Orang hebat biasanya kerana dia hebat dalam hubungan dengan Allah. Tapi ada juga yang hebat dunia sahaja, hubungan dengan Allah entah ke mana. Dia tidak bersangka baik dengan Allah apatah lagi dengan makhluknya. Adab dan akhlak dalam pengurusan hati masih lagi samar untuk diiktiraf sebagai seorang dai’e.

Sekiranya semakin kita bijak, semakin jauh diri kita daripada-Nya, maka ada sesuatu yang tidak kena dengan diri. Jauhkanlah sifat itu dari dalam diri.

Apa pun, jangan resah andai ada yang membenci. Andai ada yang tidak berpuas hati. Andai ada yang tidak menyenangi. Kerana masih ramai yang mencintai kita di dunia. Resahlah andai Allah membenci kerana tiada lagi yang mencintai kita di akhirat.

Nabi SAW bersabda “Sesungguhnya Allah memberikan dunia kepada siapa yang dicintai-Nya dan siapa yang tidak dicintai-Nya, tetapi Allah tidak memberikan iman kecuali kepada siapa yang dicintai-Nya.”

Sahabat Dunia Akhirat

Memiliki sahabat sejati merupakan satu anugerah yang tidak ternilai kerana sahabat boleh mewarnai dan mempengaruhi kehidupan kita, baik dari sudut kebendaan, kecenderungan mahupun tingkah laku. Sama ada kita akan terikut-ikut dengan kecenderungannya, ataupun sebaliknya, dia akan terpengaruh dengan kita.

Secara umumnya, kita melihat orang yang baik akan bersahabat dengan orang yang baik dan begitu juga sebaliknya.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :

“Perumpamaan orang yang bersaudara adalah seperti dua tangan, yang satu membersihkan yang lainnya.” (Riwayat al-Dailamai)

Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya :

“Bersahabat dengan orang yang soleh dan dengan orang yang jahat seperti berkawan dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi (yang menghembus bara api). Pengedar minyak wangi, sama ada ia memberi anda sebahagian ataupun anda membeli bau-bauan daripadanya, ataupun sekurang-kurangnya anda mendapat juga bau daripadanya. Manakala tukang besi pula sama ada ia menyebabkan baju anda terbakar, ataupun anda mendapat bau yang kurang enak.” (Riwayat Abu Daud)

Oleh sebab itu, kita harus berhati-hati untuk menjadikan seseorang itu sebagai kawan, teman ataupun sahabat. Sahabat semestinya memiliki sifat-sifat yang terpuji untuk kita ikuti dan contohi. Sahabat boleh membahagiakan kita untuk menempuh kehidupan di dunia ini dan juga membantu kita di akhirat kelak.



Sifat Sahabat yang Mulia

1. Memiliki akhlak dan budi pekerti yang baik.

Seseorang yang disenangi, mempunyai akal yang baik, berbudi pekerti dan mematuhi perintah Allah. Sering juga mengajak kita melakukan kebaikan untuk diri dan masyarakat. Berbicara dengan penuh kelembutan dan kesopanan.

2. Menutup keburukan dan kekurangan sahabat, baik semasa sahabat ada ataupun tiada.

Tidak menderitakan keaiban orang lain kepada sahabatnya dan jika dia melihat sesuatu yang tidak baik tentang diri kita, dia akan menjaga aib tersebut.

Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud :

“Sesiapa menutup keburukan saudaranya, maka Allah akan menutup keburukannya di akhirat.” (Riwayat Ibn Majah)

3. Memperbesarkan kebaikan yang dilakukan oleh sahabatnya.

Sering menanyakan tentang kesusahan yang kita hadapi kerana ingin berkongsi kesusahan, kesedihan dan kesenangan bersama. Menjadi penghibur waktu kita sedih dan pelindung jika kita memerlukan. Sanggup mengorbankan masa, harta dan tenaga untuk memenuhi hajat sahabatnya.

4. Menyebut kebaikan.

Jika dia mendapat sesuatu kebaikan daripada kita, dia akan menghargai dan menyebut-nyebut kebaikan itu. Tidak pula dia berkecil hati jika kita tidak mampu membantunya.

 5. Mudah mengalah.

Jika berlaku salah faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga hubungan. Mengorbankan perasaan sendiri demi menjaga hati sahabatnya.

6. Mendorong kita mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Saling nasihat-menasihati berkenaan hal-hal dunia dan akhirat.

Bersedia untuk menerima nasihat dan menasihati.



Sifat Sahabat yang Perlu Dijauhi

1. Mementingkan diri sendiri.

Dia terlalu banyak meminta dan sedikit memberi. Mementingkan diri sendiri yang kedekut dalam setiap perkara. Keutamaannya ialah nafsu diri sendiri kerana tamak kepada kemewahan dan harta dunia.

2. Pengampu.

Setiap perkara yang kita lakukan dia akan bersetuju, tida kira sama ada perkara itu betul ataupun salah. Apabila di hadapan, dia memuji kita namun di belakang kita, dia merendahkan dan mungkin mengkhianati kita.

3. Pemboros dan suka hiburan.

Apabila seronoknya datang, dia menjadi kawan yang setia. Dia senang menjadi sahabat jika kita suka berhibur, berkeliaran dan “melepak” pada bila-bila masa, serta suka ke tempat-tempat hiburan dan meminati hiburan yang melalaikan.

4. Membuatkan kita semakin jauh daripada Allah.

Seorang yang sesat dan menyesatkan orang lain serta mendekati jalan-jalan kemungkaran.

Hidupnya penuh dengan ranjau dan onak yang membawa kepada kekufuran.

5. Suka berbantah-bantah.

Jenis orang yang suka bertikam lidah dan ia merasakan satu kemenangan dalam berhujah dan langsung tidak mahu mengalah untuk menerima pandangan orang lain.

Berhati-hatilah memilih sahabat kerana ia menjadi cermin keperibadian kita. Berkawanlah kerana Allah untuk mencari reda-Nya.Hayatilah Firman Allah ini :

“Pada hari itu (hari akhirat), sahabat-sahabat karib; sebahagian mereka akan menjadi musuh kepada sebahagiaan yang lain, kecuali orang yang bertaqwa.” (Surah al-Zukhruf : 67)

- Artikel iluvislam.com

Kehebatan Fatimah Az-Zahra

Tahukah anda siapa Saidatina Fatimah? Saidatina Fatimah az-Zahra r.a. adalah puteri bongsu Rasulullah S.A.W, Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim bersama isteri tercinta Saidatina Khadijah Bin Khuwailid.

Beliau merupakan anak yang ke-empat Rasulullah S.A.W. yang mana dilahirkan pada penghulu hari iaitu hari Jumaat bersamaan 20 Jamadil Akhir. Saat kelahiran puteri kesayangan Rasulullah bertempatan dengan selesainya orang Quraisy membina Ka’bah. Kelahiran Saidatina Fatimah az-Zahra memberi kegembiraan kepada Rasulullah S.A.W. Baginda berkata kepada Saidatina Khadijah,

“Wahai Khadijah sesungguhnya dia (Fatimah) adalah manusia yang diberkati dan sesungguhnya Allah S.W.T memberi keturunuan darinya.”
Kegembiraan Rasulullah bertambah lagi dengan kemiripan Fatimah az-Zahra dengan baginda Rasulullah S.A.W dan direkod oleh Al-Hakim meriwayatkan daripada Anas Bin Malik r.a berkata,

“Sesungguhnya Fatimah az-Zahra adalah seorang yang sangat mirip dengan Rasulullah S.A.W. dengan memiliki kulitnya putih, bibirnya merah dan rambutnya hitam.”
Menurut Ummul Mukminin Ummu Salamah r.a :

“Fatimah az-Zahra adalah anak Rasulullah S.A.W. Dia adalah seorang yang memiliki perwatakan mirip dengan Rasulullah S.A.W.
Manakala daripada Aisyah Ummul Mukminin r.a berkata,

“Saya tidak pernah melihat seorang pun dari ciptaan Allah S.W.T. (manusia) yang serupa ucapan dan perkataannya dengan Rasulullah S.A.W. selain Saidatina Fatimah az-Zahra.”
Saidatina Fatimah az-Zahra memiliki banyak gelaran antaranya Az-Zahra, Ash-Shadiqah, Al-Batul dan Ummu Abiha. Tetapi gelaran paling dikenali ialah Az-Zahra yang mana gelaran ini diberikan oleh ayahandanya sendiri Rasulullah S.A.W. yang bermaksud bunga bagi Nabi S.A.W. kerana memiliki kulit yang putih. Diriwayatkan dari Ja’far Bin Muhammad Bin Ali r.a dari ayahnya berkata,

“Saya bertanya kepada Rasulullah tentang Fatimah, “Kenapa kamu menamakannya dengan Fatimah?” Baginda menjawab. “Kerana jika dia berdiri di mihrobnya dia akan memancarkan cahaya bagi penghuni langit sebagaimana bintang menyinari penghuni bumi.”
Walaupun Saidatina Fatimah anak Rasulullah S.A.W., beliau juga melayari kehidupan seperti bangsa arab lain dengan mengamal cara hidup yang sederhana serta tidak mendesak Rasulullah S.A.W memberi khadam kepadanya walaupun beliau hidup susah.



Bersederhana

Umum mengetahui Saidatina Fatimah Az-Zahra memiliki budi pekerti mulia kerana beruntung sejak kecil lagi diasuh dan dididik dengan akhlak mulia oleh ibubapanya Rasulullah S.A.W. dan Saidatina Khadijah bin Khuwailid. Saidatina Fatimah merupakan seorang yang sabar dan tabah menghadapi ujian hidup ini dapat dilihat semasa keperitan hidup yang dilalui yang mana mengamalkan konsep keserhanaan walaupun beliau puteri Rasulullah S.A.W. serta tidak tamak menggunakan harta Baitul Mal untuk kepentingan peribadi.

Taat Agama & Suami

Beliau juga seorang yang taat kepada agama dan suami. Beliau sentiasa menjaga maruah sebagai isteri, membantu suaminya melakukan kerja-kerja harian seperti menumbuk gandum, menguli tepung dan membakar roti serta tidak pernah ingkar suruhan suami, serta menyokong perjuangan dakwah suaminya iaiti Saidina Ali r.a.

Pemurah

Fatimah juga memiliki sifat pemurah dan bertanggungjawab serta mempunyai semangat jihad yang tinggi. Sifat pemurah Saidatina Fatimah dapat dilihat menerusi peristiwa kedatangan Salman yang kelaparan datang ke rumahnya untuk meminta makanan. Ketika itu walaupun Saidatina Fatimah juga tidak memiliki apa-apa makanan , beliau memberikan tudungnya kepada Salman agar ditukar dengan jagung milik Shamoon; seorang yahudi yang mana akhirnya memeluk Islam.

Sanggup Berkorban 

Selain itu juga, Saidatina banyak membantu Rasulullah S.A.W dalam menegakkan agama Islam. Beliau juga sama-sama berkorban untuk mengembangkan agama Islam yang dibawa oleh ayahnya dan pengalaman yang dilaluinya mengajar beliau hidup lebih tabah dan sabar. Sifat beliau yang lebih mengutamakan keperluan orang lain berbanding dengan keperluan sendiri ini harus diteladani oleh kaum Muslimat hari ini.

Ibu Mithali

Hasil perkahwinan bersama Saidina Ali r.a, mereka dikurniakan enam orang anak iaitu Hassan, Husain, Muhassin, Zaynab, Ummu Khalsum dan Ruqayah. Saidatina Fatimah juga berjaya menjadi seorang ibu yang baik untuk anak-anak mereka yang mana tidak pernah membantah Saidatina Fatimah. Hasil didikan sempurna melayakkan al-Hassan, al-Hussain dipilih menjadi Saiyidan Syabab Ahli Jannah, manakala Zainab pula mengadakan majlis Pengajian Khusus untuk wanita(Ahli sastera Islam).

Sumbangan Kepada Perjuangan Islam

Kalau kita lihat banyak sumbangan Saidatina Fatimah dalam perjuangan Islam, antaranya menjadi pendorong dan motivasi kepada Rasulullah S.A.W. ketika Rasulullah S.A.W. menerima tekanan kaum Quraisy Mekah.

Selain itu, muslimah hebat ini turut membantu menyediakan makanan untuk tentera Islam yang menggali parit dalam peperangan Khandak.

Beliau menjadi seorang isteri yang solehah dengan memberi khidmat kepada suaminya Saidina Ali menyampaikan dakwah dan membuat persiapan untuk memasuki medan peperangan. Beliau juga tidak terkecuali membantu bersama-sama dengan wanita Islam memberi rawatan kepada tentera Islam yang cedera dalam peperangan Uhud.

Begitu hebat dan mulia pengorbanan yang diberikan oleh Saidatina Fatimah dalam membantu perjuangan Islam sejak kecil sehingga kewafatannya.



Saidatina Fatimah meninggal dunia enam bulan selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. ketika beliau berusia 28 tahun dan dimakamkan oleh suami tercinta di Janat Ull baqih, Madinah. Sebelum meninggal beliau sempat meninggalkan 3 wasiat. Pertama, supaya Saidina Ali r.a berkahwin dengan Amamah bin al-Ash Bin Rabi’ yang merupakan anak saudaranya Zainab r.a.

Berkata Saidatina Fatimah,

“Sesungguhnya dia akan menjadi seorang ibu bagi anak-anakku seperti diriku dalam hal kasih sayang (yang ada padaku) dan juga kecintaan (yang ada padaku).
Kedua, membuat keranda untuknya yang berbentuk tempat tidur yang diikat dengan pelepah kurma yang menjadi pegangan dari tempat tidur (berbentuk seperti keranda), dan ia ditutupi dengan kain.

Ketiga, meminta suaminya menguburkannya di waktu malam di Baqi”.

Kehebatan Saidatina Fatimah az-Zahra harus kita contohi melalui sifat-sifat keperibadiannya yang unggul dan hebat. Sekiranya kaum muslimat samada seorang anak, isteri dan ibu dapat meniru dan meneladani sifat-sifat ini dapat kita menjalani kehidupan yang diredai serta mendapat kebahagian.

[Penulis : Wan Atiqah Wan Sidi] [Editor : Abi Aisyah]

Apa Itu Akidah?


Pengenalan
Akidah dari segi bahasa bererti simpulan iman ataupun pegangan yang kuat atau satu keyakinan yang menjadi pegangan yang kuat
Akidah dari sudut istilah ialah kepercayaan yang pasti dan keputusan yang muktamat tidak bercampur dengan syak atau keraguan pada seseorang yang berakidah sama ada akidah yang betul atau sebaliknya
Akidah Islam ialah kepercayaan dan keyakinan terhadap Allah sebagai rabb dan ilah serta beriman dengan nama-namaNya dan segala sifat-sifatNya juga beriman dengan adanya malaikat, kitab-kitab, para Rasul, Hari Akhirat dan beriman dengan taqdir Allah sama ada baik atau buruk termasuk juga segala apa yang dating dari Allah. Seterusnya patuh dan taat pada segala ajaran dan petunjuknya. Oleh itu, akidah Islam ialah keimanan dan keyakinan terhadap Allah dan RasulNya serta apa yang dibawa oleh Rasul dan dilaksanakan dalam kehidupan
Pengertian Akidah
Ilmu yang membicarakan perkara-perkara yang berkaitan keyakinan terhadap Allah swt dan sifat-sifat kesempurnaanNya.
Setiap umat Islam wajib mengetahui, mempelajari dan mendalami ilmu akidah supaya tidak berlaku perkara-perkara yang membawa kepada penyelewengan akidah kepada Allah swt
Akidah sebenar adalah akidah yang berdasarkan pada al-Quran dan As-Sunnah
Ilmu Akidah
Ilmu Tauhid
Ilmu yang menerangkan tentang sifat Allah swt yang wajib diketahui dan dipercayai
Ilmu Usuluddin
Suatu ilmu yang kepercayaan dalam agama Islam, iaitu kepercayaan kepada Allah swt dan pesuruhNya
Ilmu Makrifat
Suatu ilmu yang membahaskan perkara-perkara yang berhubung dengan cara-cara mengenal Allah swt
Ilmu Kalam
Sesuatu ilmu yang membahas tentang akidah dengan dalil-dalil aqliah (ilmiah) sebagai perisai terhadap segala tentangan daripada pihak lawan
Ilmu Akidah
Suatu ilmu yang membahas tentang perkara-perkara yang berhubung dengan keimanan kepada Allah swt
Huraian Rukun Iman
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, dari Umar Ibni Al-Khattab r.a bahawa di dalam pertemuan malaikat Jibril dengan Rasulullah saw di dalam sebuah majlis yang dihadiri oleh ramai sahabat-sahabat Rasulullah saw maka Jibril telah mengemukakan pertanyaan kepada Rasulullah saw yang bermaksud:-
“Jibril telah berkata kepada Rasulullah, kamu terang kepadaku mengenai iman maka jawab Rasulullah, iman itu ialah bahawa kami beriman kepada Allah, kepada malaikat, kepada kitab-kitab, kepada rasul-rasul, kepada hari kemudian dan kamu beriman bahawa habuan dan peruntukan bagi kamu sama ada baik atau buruk adalah semua daripada Allah swt, maka Jibril pun berkata kamu telah berkata benar.”

Jadi, dari ayat Al-Quran dan hadith dapatlah disimpulkan bahawa iman itu ialah 6 perkara iaitu:

Erti beriman dengan Allah Ta’ala itu ialah mengetahui, percaya dan beriktikad dengan perkara-perkara yang wajib, perkara-perkara mustahil dan perkara yang harus bagi Allah Ta’ala.

Beriman dengan Allah juga bermaksud:
Membenarkan dengan yakin akan adanya Allah
Membenarkan dengan yakin akan keEsaan Allah, baik dalam perbuatanNya menjadikan alam dan makhluk seluruhnya mahupun dalam menerima ibadat setiap makhluk
Membenarkan dengan yakin bahawa Allah bersifat dengan segala sifat kesempurnaan, suci dari segala kekurangan dan suci juga dari menyerupai segala yang baharu

“Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu (menjadi orang-orang yang ) bertaqwa –
(Surah Al-Baqarah:21)

Ertinya bahawa Allah itu adalah pencipta setiap benda yang ada di ala ini termasuk bumi langit dan planet-planet yang lain, yang dapat dilihat atau tidak, semuanya adalah kepunyaan Allah swt
Percaya kepada Allah ini adalah pokok kepada kepercayaan atau rukun-rukun iman yang lain kerana dengan adanya Allah maka adanya yang lain-lain itu.

Tauhid Rububiyah dan Uluhiyyah Allah swt
Tauhid Rububiyah bermaksud hanya Allah sahaja sebagai Rabb (pencipta, pemilik, pemerintah, memberi rezeki dan seumpamanya). Tidak boleh dijadikan, dianggap atau dirasakan yang lain sebagai rabb atau bersama-sama Allah menjadi Rabb.
Tauhid Uluhiyyah bermaksud orang Islam yang beriman dengan keimanan yang sebenar, dia hanya mengambil Allah sebagai Ilah. Dia tidak meletakkan Allah bersama-sama yang lain sebagai Ilah. Allah sahaja sebagai pujaan dan sembahannya. Maklud Ilah ialah sesuatu yang dipuja dan disembah.
Mempelajari dan memahami ajaran Allah
Maksud beriman kepada Allah juga sepatutnya kita mempelajari dan memahami segala yang datang daripada Allah melalui RasulNya sama ada dalam al-Quran atau al-Sunnah. Maksud beriman kepada Allah bukan sekadar percaya tentang kewujudan Allah tetapi termasuk juga segala apa yang datang daripada Allah swt
Yakin dan Melaksanakan Petunjuk Allah swt
Antara maksud dan tuntutan iman kepada Allah ialah yakin terhadap apa yang datang daripada Allah. Yakin dengan kebenaran, kesempurnaan Islam sebagai satu Din yang shamil dan kamil serta terbaik
Percaya kepada Malaikat
Ertinya ialah bahawa Allah telah menjadikan sejenis makhluk halus yang keadaan asalnya tidak boleh dilihat, bukan lelaki dan bukan perempuan. Hidup mereka sentiasa taat kepada perintah Allah tanpa sesekali menderhakainya. Malaikat dijadikan oleh Allah daripada cahaya. Sabda Rasulullah saw (terjemahanya):
”Malaikat itu dijadikan daripada cahaya, jin dijadikan daripada api yang tidak berasap & dijadikan nabi Allah Adam sebagaimana yang diterangkan iaitu daripada tanah”–(Hadith riwayat Muslim)
Nama dan Tugas Malaikat
Jibril – Menyampaikan wahyu dan perintah Allah kepada nabi-nabi & rasul-rasulNya untuk disampaikan kepada manusia
Mikail – Mengawal cekerawala termasuk matahari, bulan, bintang-bintang, hujan & panas dan lain mengikut yang dikehendaki oleh Allah
Izrail – Mencabut nyawa seluruh makhluk yang bernyawa apabila sudah sampai waktu yang dikehendaki oleh Allah
Israfil – Meniup sengkekala apabila tiba masanya
Raqib – Mencatit amalan baik yang dilakukan oleh manusia
Atid – Mencatit amalan jahat yang dilakukan oleh manusia
Mungkar – Menyoal manusia di dalam kubur
Nakir – Menyoal manusia di dalam kubur
Ridhwan – Mengawal syurga
Malik – Mengawal neraka

Antara tugas-tugas Malaikat seperti:
Membawa wahyu kepada para Nabi dan Rasul
Bertasbih dan patuh dan sujud pada Allah
Memikut Arsy
Berdoa untuk orang-orang beriman
Peranan Malaikat di Akhirat seperti memberi salam pada ahli syurga, mengazab ahli neraka dan seumpamanya
Hikmat Beriman Kepada Malaikat
Seseorang itu menyedari bahawa dia sentiasa diawasi oleh Malaikat maka dia akan sentiasa menjaga tingkah laku yang berkelakuan baik, menjaga tutur kaya yang walau dimana dia berada
Seseorang akan segera insaf dan tidak mengulangi kesalahan dan kesilapan kerana menyedari setiap tutur kata dan gerak laku yang tidak terlepas daripada catitan Malaikat Raqib & Atid
Seseorang muslim akan sentiasa melakukan apa yang disuruh Allah dan menghindar apa yang dilarang Allah supaya selamat di alam kubur kerana dia mengetahui apabila dia mati, dia akan ditanya dan diseksa oleh Malaikat di dalam kubur
Percaya Kepada Kitab
Orang-orang Islam wajib percaya bahawa Allah swt telah menurunkan beberapa buah kitab kepada rasul-rasulNya. Isi pengajaran kitab-kitab itu adalah mengandungi ajaran-ajaran mengenai amal ibadat untuk akhirat dan juga petunjuk-petunjuk untuk memperbaiki kehidupan manusia di dunia
Kitab-kitab yang wajib diketahui ialah:
Zabur : Nabi Daud (dalam bahasa Qibti)
Taurat : Nabi Musa (dalam bahasa Ibrani)
Injil : Nabi Isa (dalam bahasa Suryani)
Al-Quran : Nabi Muhammad saw (dalam bahasa Arab)

Firman Allah swt yang bermaksud:
”Pada mulanya manusia itu adalah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu tetapi akhirnya mereka telah berselisih faham), maka Allah telah mengutuskan nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan syurga), dan pemberi amaran (kepada yang engkar dengan balasan azab neraka), dan Allah menurunkan bersama nabi-nabi itu kitab-kitab suci yang mempunyai keterangan-keterangan benar untuk menjalankan hukuman di antara manusia mengenai apa yang mereka pertikaikan”
(Surah Al-Baqarah: 213)

Al-Quran merupakan kitab terakhir sekali diturunkan oleh Allah & penutup kepada segala kitab-kitab yang terdahulu
Percaya Kepada Rasul
Seseorang Islam diwajibkan beriman bahawa Allah telah mengutuskan beberapa orang rasul yang dipilihNya daripada jenis manusia yang cukup sempurna. Mereka membimbing manusia kepada kehidupan yang membawa kebahagiaan di dunia dan akhirat
Sifat-sifat yang wajib bagi Rasul:
Siddiq – Benar pada segala percakapan, perkhabaran & perbuatan
Amanah – Jujur dan tidak membuat kesalahan
Tabligh – Menyampaikan semua perintah Allah kepada manusia
Fathonah- Bijaksana

Erti Rasul dari segi bahasa : Utusan yang menyampaikan sesuatu perutusan seseorang kepada orang lain
Erti Rasul dari segi istilah: Lelaki utusan Allah yang menerima wahyu Allah untuk dirinya yang wajib disampaikan kepada umat manusia agar mereka dapat melalui jalan yang lurus dan diredhai Allah
Dari segi keaslian : al-Quran tetap asli tidak ada perubahan dan tidak mampu dipinda oleh manusia manakala kitab-kitab lain berubah dan tidak asli
Al-Quran sesuai untuk semua zaman dan tempat, manakala kitab-kitab lain untuk tempoh-tempoh tertentu sahaja
Bahasa Al-Quran adalah bahasa arab yang hidup pemakainnya sepanjang masa, iaitu sentiasa digunakan oleh ramai dan banyak negara di seluruh dunia

Hikmah Beriman Dengan Kitab-kitab
Menunjukkan bahawa agama yang dating daripada Allah adalah satu sahaja iaitu Islam yang terkandung di dalam kitab-kitab yang datAng daripada Allah mendahului. Para Nabi semasa ke semasa sehinggalah kitab al-Quran
Umat manusia di sepanjang zaman sebenarnya memerlukan agama yang satu iaitu Islam, yang berteraskan akidah tauhid. Ini semua terkandung dalam semua kitab-kitab yang datAng daripada Allah

Perbezaan dari segi syariat perkara penting berkaitan pelaksanaan dalam agama boleh berlaku. Yang ditegah secara tegas ialah perbezaan dari segi akidah atau perkara-perkara usul. Ini terbukti dalam syariat-syariat kitab-kitab dari satu nabi dengan nabi yang lain berbeza, tetapi akidah dan perkara pokok yang lain semuanya sama
Semua para Nabi adalah Islam. Tidak ada percanggahan antara al-Quran dan Taurat sebagaimana juga tidak ada pertentangan dengan Injil dan kitab-kitab lain. 
Percaya Kepada Hari Akhirat
Beriman kepada hari Akhirat merupakan masalah yang paling berat dari segala macam akidah dan kepercayaan manusia. Sejak zaman sebelum Islam sampailah sekarang manusia telah memperkatakan masalah ini. Para ahli fakir selalu menempatkan persoalan ini sebagai inti penyelidikan, sebab beriman kepada hari akhirat akan membawa manusia kepada keyakinan adanya satu kehidupan duniawi dan penciptaan manusia. Demikianlah pentingnya masalah ini hingga turunnya ayat-ayat Allah menerangkan kedudukan hari Akhirat.

Lima fasa pola beriman kepada hari Akhirat:
Tahap kehancuran makhluk yang ada di muka bumi. Terjadi gempa bumi, di mana gunung-gunung menjadi debu, air laut mendidih meluap-luap, bintang-bintang berguguran, langit bergulungan, sedang manusia mabuk dan pitam. Kemudian musnahlah segala makhluk sama ada yang bernyawa mahupun tidak, hanya Allah yang tetap kekal
Hari kebangkitan di mana manusia akan dibangkitkan dari kubur dan dikumpulkan dipadang Mahsyar
Diperlihatkan seluruh amal perbuatan di dunia dahulu. Tidak ada yang tersembunyi sama ada yang jahat mahupun yang baik, sekalipun sebesar zarah
Hari menghisab di depan mahkamah keadilan Allah, dimana manusia akan memperolehi keputusan yang paling adil tanpa ada penganiayaan
Hari keputusan di mana manusia akan menerima ganjaran yang setimpal dengan amalannya. Di sini saat yang dijanjikan akan dipenuhi sebagai tujuan penciptaan manusia. Mereka yang banyak amal kebajikan ditempatkan di syurga dan banyak amalan kejahatan akan ditempatkan di neraka

Kepentingan Beriman dengan Hari Akhirat
Memperbaharui kesedaran tentang hakikat adanya alam akhirat yang merupakan tempat manusia menerima balasan dan juga tempat yang kekal abadi untuk semua manusia
Mempertingkatkan keimanan dengan merasai keagongan Allah Rabul-Alamin selaku pemerintah dan penguasa serta tuan punya Alam, pencipta dan pemilikan hari Akhirat dan segala isi kandungannya
Melembutkan hati manusia dengan mengingati mati dan Hari Akhirat
Mengalakkan orang Islam melakukan ma’ruf (kebaikan) dan meninggalkan kejahatan
Beriman Kepada Qada Dan Qadar'
Maksud Takdir
Takdir ataupun ketentuan Allah terhadap makhluknya khususnya manusia dapat dibahagikan kepada dua:
Ketentuan tentang nature yang mengandungi sebab musabab
Takdir atau ketentuan Allah terhadap makhlukNya, khususnya manusia

Sikap Orang Islam Dalam Menerima Takdir Allah
Menerima dan redha terhadap apa yang ditakdirkan oleh Allah, kerana Allah Maha Adir dan tidak mungkin melakukan kezaliman terhadap makhlukNya. Apa yang Allah tentukan kepada manusia di luar dari pilihan manusia adalah kebijaksanaan dan keadilan Allah. Ada sesuatu hikmah di sebalik ketentuan itu. Mungkin apa yang kita rasa baik adalah buruk bagi kita dan demikianlah sebaliknya. Allah Maha Mengetahui apa yang tidak kita ketahui
Mestilah bersabar sekiranya Allah takdirkan sesuatu yang buruk yang berlaku ke atas diri kita. Mungkin di sebalik apa yang berlaku itu ada sesuatu yang baik yang Allah akan anugerahkan kepada kita
Peringkat-Peringkat Iman
Iman Taqlid – Iman ikut-ikutan, hanya semata-mata mengikut pendapat orang lain
Iman Ilmu – Beriman semata-mata kerana berilmu dan berdasarkan pada fikiran tidak terletak di hati
Iman A’yan – Iman yang terletak di dalam hati. Iman ini dimiliki oleh orang-orang soleh
Iman Hak – Iman sebenar yang terlepas dari nafsu syaitan. Iman ini dimiliki oleh golongan muqarabbin, iaitu orang yang hampir dengan Allah
Iman Hakikat – Iman peringkat tertinggi yang boleh dicapai oleh manusia. Iman ini hidup semata-mata untuk Allah dan Rasul serta hari Akhirat seperti para sahabat nabi
Iman Bertambah Dan Iman Berkurang
Iman manusia sentiasa bertambah dan berkurang mengikut amalan. Perkara-perkara yang perlu dilakukan untuk meneguhkan iman:
Melawan hawa nafsu
Mengosongkan hati daripada sifat-sifat tercela
Membiasakan diri dengan sifat-sifat terpuji
Melahirkan keikhlasan berbakti & berkorban semata-mata kerana Allah
Memperbanyakkan amalan-amalan sunat
Bertafakur, iaitu memerhatikan tanda-tanda kebesaran dan kekuasan Allah  
Kepentingan Mempelajari Ilmu Akidah
Antara beberapa kepentingan mempelajari ilmu akidah termasuklah:
Supaya terhindar daripad ajaran-ajaran sesat yang akan merosakan akidah seseorang terhadap Allah swt
Meneguhkan keimanan dan keyakinan kepada sifat-sifat kesempurnaanNya
Memantapkan akidah seseorang supaya tidak terikut dan terpengaruh dengan amalan-amalan yang boleh merosakan akidah
Audit dan Timbangan Amalan. Antaranya perkara yang akan dialami oleh manusia di akhirat ialah hisab dan timbangan amalan
Balasan Syurga dan Neraka. Berdasarkan nas-nas al-Quran menunjukkan bahawa orang yang mempunyai amalan baiknya banyak sehingga memberatkan timbangan amalan baik ia akan dimasukan ke dalam syurga, manakala mereka yang sebaliknya akan dimasukan ke dalam neraka
Dapat mengeluarkan hujah-hujah yang boleh mematahkan hujah daripada pihak lawan yang cuba memesongkan akidah seseorang

Kepentingan Akidah Dalam Kehidupan Manusia
Akidah Sebagai Asas
Akidah Sebagai Penentu atau Pendorong
Penyelewengan Dan Kerosakan Akidah
Melalui Percakapan atau ucapan
Melalui Perbuatan
Melalui Iktikad dalam hati
Pembinaan Akidah
Memahami konsep Islam yang sebenarnya dan memahami konsep akidah secara khusus
Membersihkan hati dengan cara meninggalkan dosa dan melakukan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah
Sentiasa berjihad melawan nafsu dan syaitan untuk beriltizam dengan Islam
Bersama-sama dengan orang-orang yang soleh atau sentiasa mencari suasana yang baik
Sentiasa berdoa memohon pimpinan Allah
Bertawakal kepada Allah
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, konsep akidah amat mudah dipelajari dan difahami secara umum kepada sesiapa sahaja yang ingin mengamalkan akidah secara istiqamah(berterusan). Secara tidak langsung, masyarakat yang mengamalkan konsep akidah yang betul akan melahirkan sebuah negara yang tinggi ilmu, amal dan akhlaknya.